Wednesday, September 30, 2009

MUDAHNYA UNTUK BERSEDEKAH


Mungkin terlintas di fikiran kita, macam mana nak bersedekah sedangkan kita tergolong dalam golongan yang kurang berada, tak punyai wang yang banyak kecuali wang yang ada pun hanya cukup untuk membeli menyara keluarga. Bagi para pelajar pula wang yang ada hanya cukup untuk makan minum, membeli buku-buku rujukan dan seumpamanya. Maka timbullah rasa berbelah bahagi samada wang yang ada hendak disedekahkan atau pun hanya digunakan untuk kehidupan seharian. Masakan nak bersedekah kalau wang untuk menanggung kehidupan seharian pun tidak mencukupi? Satu persoalan yang perlu dielakkan oleh kita yang bergelar seorang muslim dalam soal meringankan tangan untuk bersedekah.


Maka pada kali ini, Shabab muslim mahu mengajak rakan-rakan pembaca untuk mengubah persepsi sedemikian dengan menghayati sebuah hadis Nabi s.a.w. yang mulia;

عَن أَبِي هُريرَة رضي الله عنه: قَال رسولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عليهِ وسلَّم "كُلُّ سُلَامَى مِنَ النَّاسِ عَلَيْهِ صَدَقَةٌ كُلَّ يَوْمٍ تَطْلُعُ فِيهِ الشَّمْسُ، تَعْدِلُ بَيْنَ الإِثْنَيْنِ صَدَقَةٌ، وَتُعِيْنُ الرَّجُلَ فِيْ دَابَّتِهِ فَتَحْمِلُهُ عَلَيْهَا أَوْ تَرَْعُ لَهُ عَلَيْهَا مَتَاعَهُ صَدَقَةٌ، وَالْكَلِمَةُ الطَّـيِّبَةُ صَدَقَةٌ، وَبِكُلِّ خُطْوَةٍ تَمْشِيْهَا إِلَى الصَّلَاةِ صَدَقَةُ، وَتُمِيْطُ الأَذَى عَنِ الطَّرِيْقِ صَدَقَةٌ".

(رواه البخاري ومسلم)


Maksudnya: Daripada Abu Hurairah r.a, beliau berakata Rasulullah s.a.w. bersabda: “ Setiap sendi ditubuh badan manusia menjadi sedekah untuknya pada setiap hari matahari terbit. Kamu melakukan keadilan di antara dua orang (yang berselisih faham) adalah sedekah, kamu membantu orang menaiki kenderaan atau kamu mengangkat barang-barang untuknya ke dalam kenderaan adalah sedekah, perkataan yang baik adalah sedekah, setiap langkah kamu berjalan untuk menunaikan solat adalah sedekah dan kamu membuang perkara-perkara yang menyakiti di jalan adalah sedekah.


Sedekah ialah memberi sesuatu yang bernilai kepada orang yang memerlukannya. Sedekah bukan hanya memberi bantuan kebendaan seperti harta atau wang ringgit, tetapi merangkumi amalan yang memberi manfaat kepada individu, masyarakat dan Negara. Justeru itu, rakan-rakan pembaca sekalian, apabila kita meneliti hadis di atas dengan baik, kita akan mendapati bahawasanya Islam tidak menyempitkan konsep sedekah sekaligus membuktikan bahawa Islam adalah agama yang tidak menyusahkan penganutnya untuk melakukan kebajikan.


Apa lagi yang hendak dipertikaikan lagi jika yang mengatakan sedemikian iaitu “melakukan keadilan di antara dua orang yang berselisih faham adalah sedekah, membantu orang lain menaiki kenderaan dan mengangkat barangnya ke dalam kenderaan adalah sedekah, berkata-kata baik adalah sedekah, setiap langkah untuk menunaikan solat adalah sedekah hatta membuang perkara-perkara yang menyakiti di tengah jalanan adalah sedekah” adalah Rasulullah s.a.w. yang mulia.


Nah, betapa senangnya untuk kita melakukan sedekah. Walaupun kita tidak memiliki wang, kita masih lagi boleh melakukan amalan sedekah yang mulia. Oleh itu wahai rakan-rakan pembaca, selalulah kita senantiasa berusaha untuk meletakkan diri kita sebagai seorang yang suka bersedekah kerana ada di sebut dalam sebuah hadis Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: “Tangan yang memberi lebih baik daripada tangan yang menerima”.


Selamat menjalankan ibadah sedekah...


Oleh: Shabab Muslim

0 comments:

Post a Comment