Pada ruangan kali ini, penulis ingin menyentuh isu yang beraitan solat berjemaah. Akan tetapi bukan kelebihan solat berjemaah yang mahu disentuh oleh penulis, bahkan sebaliknya. Isu yang mahu dikongsi bersama-sama rakan-rakan pembaca pada kali ini adalah berkaitan dengan larangan melintasi orang yang sedang solat. Cuba perhatikan dikebanyakan masjid, ramai sekali masyarakat kita yang melintasi orang yang sedang solat. Misalnya, terdapat sebahagian jemaah yang berada di saf hadapan yang terus melintasi di hadapan jemaah yang di belakang tersebut. Justeru, perlulah kita merujuk kembali tentang permasalahan ini dan apakah jawapan ulama tentang hal ini?
Sabda Rasulullah s.a.w:
" لَوْ يَعْلَمُ المَارُّ بَيْنَ يَدَيْ المْصَلِّيْ مَاذَا عَلَيْهِ لَكَانَ أَنْ يَقِفَ أَرْبَعِيْنَ خَيْرًا لَهُ مِنْ أَنْ يَمُرَّ بَيْنَ يَدَيْهِ قَالَ أَبُو النَّضْرِ لَا أَدْرِيْ أَقَالَ أَرْبَعِيْنَ يَوْمًا أَوْ شَهْرًا أَوْ سَنَةً"
“Sekiranya seorang yang melalui di hadapan orang yang sedang bersolat ini mengetahui apa jenis dosanya (lalu di hadapan orang solat) nescaya untuk berhenti menunggu empat puluh lebih baik daripada lalu di hadapan orang solat ini. Berkata perawi: “Aku tidak pasti sama ada Nabi menyebut empat puluh hari atau bulan atau tahun”.
(Riwayat al-Bukhari)
Sabda Nabi s.a.w. lagi:
"إِذَا صَلَّى أَحَدُكُمْ إِلَى شَيْءٍ يَسْتُرُهُ مِنَ النَّاسِ فَأَرَادَ أَحَدٌ أَنْ يَجْـتَازَ بَيْنَ يَدَيْهِ فَلْيَدْفَعْهُ فَإِنْ أَبَى فَلْيُقَاتِلْهُ فَإِنَّمَا هُوَ شَيْطَانٌ"
“Apabila seseorang kamu sedang solat dan mempunyai sutrah (penghadang) yang menghalanganya, jika tiba-tiba ada orang yang ingin mencerobohi (melintasi) di hadapannya maka hendaklah menegahnya, jika ia (yang ingin melintasinya) enggan berhenti, hendaklah kamu bersungguh menghalangnya kerana ia adalah syaitan”.
(Riwayat al-Bukhari)
Apabila difahami secara teliti, maka fahamlah kita bahawasanya melintasi orang yang sedang bersolat adalah berdosa dan ditegah oleh agama. Perlu diingati oleh setiap daripada kita untuk tidak melintasi orang yang sedang solat keran solat adalah satu cara untuk kita menyatakan ubudiyah kita kepada Allah s.w.t. Secara hakikatnya, kita berdiri, rukuk dan sujud semasa solat adalah tanda pengabdian kita kepada Allah s.w.t. Sekiranya seseorang melintasi orang yang sedang solat, maka ia telah merampas hak Allah s.w.t. yang tidak sepatutnya dimiliki oleh seorang hamba.
Masakan tidaknya, falsafah yang terkandung dalam solat adalah semuanya menjurus kepada pengibadatan mutlak untuk Allah s.w.t. berdiri, rukuk, sujud dan yang berkaitan dengan solat adalah untuk Allah. Maka seseorang yang melintasi dihadapan orang yang sedang solat seolah-olah telah meletakkan dirinya untuk disembah oleh orang lain. Maka amat kurang ajar bagi sesiapa yang melakukan demikian.
Justeru, rakan-rakan pembaca sekalian maka ayuhlah kita perbaiki akhlak kita dan tingkahlaku dihadapan Allah s.w.t. dan juga dihadapan orang yang sedang solat. Walaupun kita ada urusan penting sekalipun, bersabarlah sekejap bagi mengelakkan kita melintasi orang yang sedang solat. Atau carilah ruang-ruang yang boleh kita lalui tanpa perlu melintasi orang yang sedang solat. Wallhu a’alam.
Shababmuslimgroup
0 comments:
Post a Comment