Wednesday, September 9, 2009

BERBUAT BAIK KEPADA IBU BAPA

Hadis Abu Hurairah r.a katanya:

Telah datang seorang lelaki kepada Rasulullah s.a.w lalu bertanya: Siapakah manusia yang paling berhak untuk aku layan dengan sebaik mungkin? Rasulullah s.a.w bersabda: Ibumu. Beliau bertanya lagi: Kemudian siapa? Rasulullah s.a.w bersabda: Kemudian ibumu. Beliau terus bertanya: Kemudian siapa? Rasulullah s.a.w bersabda: Kemudian ibumu. Beliau terus bertanya: Kemudian siapa? Rasulullah s.a.w bersabda: Kemudian ayahmu.

Berdasarkan hadis diatas kita dapat lihat, Rasulullah memberi penekanan yang serius terhadap berbuat baik kepada ibu bapa khusunya kepada ibu. Ungkapan 'Syurga dibawah tapak kaki ibu' begitu sinonim kepada kita semua. Firman Allah dalam surah al-Furqan ayat 23;

" Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepadaNya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan "Ha", dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun)"

Realiti yang berlaku dalam masyarakat kita hari ini adalah sebaliknya. Berapa ramai dalam kalangan kita yang menghormati ibu bapa terutama golongan remaja hari ini. Bukan setakat tidak menghormati ibu bapa, bahkan ada juga yang sanggup meninggikan suara dan menengking ibu bapa sendiri. Lebih parah lagi, ada yang sanggup memukul dan mencederakan ibu bapa.

Oleh itu, kita wajib berbuat baik kepada ibu bapa supaya kita mendapat keredhaan daripadanya. Kerana keredhaan ibu bapa itulah yang menentukan keredhaan Allah SWT. Akhirnya, hayatilah klip video lagu nasyid kumpulan Aeman diatas moga anda mendapat manfaatnya.

Oleh: Shabab Muslim

0 comments:

Post a Comment