Wednesday, September 30, 2009

MENYEMAI BUDAYA NASIHAT DALAM KALANGAN UMAT


Assalamualaikum wrt brkth.

Syukur kita kepada pencipta alam ini, Allah SWT yang masih memberi kita nikmat iman dan Islam serta limpahan rezeki dan kurniaan. Ruangan kali ini menyentuh mengenai budaya nasihat dalam kalangan umat Islam. Terutama melibatkan realiti semasa atau masa kini.

Rasulullah SAW bersabda; Agama itu nasihat, bertanya para sahabat; untuk siapa ya Rasulullah? Baginda menjawab; untuk Allah, kitabNya, rasulNya, pemimpin umat Islam dan umat Islam.

Rasulullah secara tegas menyentuh mengenai amalan nasihat dalam agama Islam. Sehingga mengatakan 'agama itu nasihat' sebagai menunjukkan peri pentingnya budaya nasihat dalam kehidupan umat Islam.

Dalam hadis nabi yang lain, iaitu daripada Jarir bin Abdullah r.a. katanya; Aku (Jarir) berbaiah kepada Rasulullah SAW untuk selalu mendirikan sembahyang, mengeluarkan zakat dan memberi nasihat baik terhadap setiap muslim.

Realiti masa kini ramai kalangan kita yang tidak mengamalkan konsep nasihat dalam kehidupan seharian. Bahkan ada yang lebih teruk membiarkan sahaja rakan-rakan membuat silap dan mengumpat di belakang.

Konsep nasihat terlalu luas dan melibatkan setiap golongan masyarakat. Lebih indah kiranya kehidupan seharian kita di budayakan dengan konsep nasihat. Samada nasihat kepada pemimpin mahupun kepada rakyat biasa. Budaya nasihat akan mewujudkan masyarakat yang aman, berkerjasama dan mengelak daripada persengketaan.

Moga-moga kehidupan kita ini dibiasakan dengan budaya nasihat samada dalam keluarga, bersama rakan-rakan, dalam masyarakat serta hubungan rakyat dengan pemimpin.wassalam

Oleh: Shabab Muslim

0 comments:

Post a Comment